Subscribe

RSS Feed (xml)



Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Sunday, October 10, 2010

PENTINGNYA MENGETAHUI CARA MURID BELAJAR

PENDAHULUAN

Dalam Jurnal Pendidikan Tigaenf 1999/2000, Dunn, R. dan Dunn, K. (1978) dalam bukunya berjudul Teaching Students Through Their Individual Learning Styles menyatakan kekaguman mereka apabila mendapati adanya begitu banyak penulisan pada tahun 1970-an yang menyokong pendapat bahawa setiap murid belajar mengikut cara-caranya yang tersendiri, berbeza dengan rakan sebayanya.

“We were amazed to find an abundance of literature that had been accumulated over an eighty-year period repeatedly verifying that each student learns in ways that are different from his or her peers.” (Dunn & Dunn, 1978:4)

Berdasarkan data yang diperoleh hasil daripada kajian mereka mengenai cara-cara bagaimana kanak-kanak dan orang dewasa belajar, Dunn & Dunn (1978:4) mengkategori gaya pembelajaran kepada 18 kategori berdasarkan unsur-unsur asas yang kemudiannya diklasifikasikan kepada empat perkara sahaja berdasarkan rangsangan (stimuli) iaitu persekitaran, emosi, sosial dan fizikal.

Kolb (1990) menyatakan bahawa manusia belajar berdasarkan cara bagaimana dia mengamati dan memproses sesuatu. Ada yang memberi respon atau mempelajari sesuatu dengan cara menggunakan deria dan perasaan (sensing and feeling), manakala manusia lain belajar dengan cara berfikir. Satu cara belajar yang lain pula ialah manusia mempelajari sesuatu dengan cara memproses pengalaman dan maklumat iaitu belajar secara memerhati orang lain melakukan sesuatu. Ada pula dengan secara melakukannya sendiri.

Pelajar yang pragmatis suka mencuba terlebih dahulu sama ada sesuatu itu benar-benar praktikal. Apabila didapati praktikal dan berguna, maka dianggapnya baik dan dia akan mempelajarinya. Manakala pelajar yang reflektif akan mengasingkan diri tetapi masih melihat sesuatu yang dipelajarai itu daripada beberapa perspektif yakni mengambil masa untuk berfikir sebelum membuat sesuatu keputusan. Pelajar yang teoritis pula suka mengambil pendekatan logikal, tersusun serta membina teori-teorinya sendiri.

Walaupun gaya pembelajaran itu wajar dipertimbangkan khususnya apabila guru bercadang melaksanakan kerja-kerja pengajaran yang terarah kendiri (self-directed learning), “self-propelling learning”, pembelajaran masteri dan lain-lain yang merupakan pembelajaran aktif berpusatkan murid, maka satu perkara penting yang wajar ditekankan juga ialah “mempelajari cara belajar”.

“The most important learning is learning to learn.

The most important knowledge is self-knowledge”

(Nisbet, J., 1988:vii)

APLIKASI BEHAVIORISME

Teori behaviourisme bersandarkan kepada perubahan tingkah laku (learning leads to a change in behaviour), iaitu pembelajaran menghasilkan perubahan tingkah laku. Dengan melakukan sesuatu secara berulang-ulang maka tingkah laku itu akan dikuasai secara automatik. Pavlov (1849–1936) yang menjalankan eksperimen menggunakan anjing, makanan dan loceng membuktikan bahawa apabila loceng dibunyikan, secara automatik anjing akan mengeluarkan air liur kerana makanan akan disajikan. Thorndike (1874–1949) pula mengemukakan Teori S-R atau Stimulus-Response Theory (teori pelaziman operan), yang mana rangsangan terlazim menghasilkan respons terlazim. Misalnya, kucing yang lapar "belajar" membuka sangkarnya (respons terlazim) untuk mendapatkan makanan yang dihidang di luar sangkar (stimulus terlazim). Thorndike percaya bahawa hubungan neural terbentuk antara stimulus dengan respons apabila respons adalah positif, dan pembelajaran berlaku apabila hubungan itu membentuk corak tingkah laku yang dikehendaki. Lanjutan daripada itu, Skinner (1904–1990) mengemukakan teori Contiguity of Feedback/Reinforcement, iaitu tingkah laku boleh dibentuk dengan memberi peneguhan secara positif atau negatif. Misalnya pelajar diberi ganjaran/pujian (peneguhan positif) apabila berjaya melakukan sesuatu seperti menghabiskan kerja rumah atau sebaliknya dihukum (peneguhan negatif) kerana tidak menyiapkan kerja rumah. Teori ini tidak dapat menerangkan tentang proses pembelajaran dan proses pemikiran, ia hanya dapat menerangkan pembentukan tingkah laku melalui proses rote-learning.

APLIKASI KOGNITIVISME

Teori kognitif berfokus kepada proses di sebalik tingkah laku yang ditunjukkan. Perubahan tingkah laku yang diperhati dijadikan sebagai petunjuk kepada apa yang mungkin berlaku dalam minda pelajar. Teori ini menerangkan pembelajaran sebagai proses yang melibatkan pemerolehan dan penyusunan semula struktur kognitif kepada bentuk yang bermakna dan mudah diingat oleh pelajar. Bermula dengan teori perkembangan kognitif Piaget (1926 dalam Good & Brophy, 1990) teori ini menerangkan bahawa skema (the internal knowledge structure) berkembang apabila kanak-kanak berinteraksi dengan persekitarannya dan skema itu sentiasa berkembang dan berubah kerana menyerap dan menyimpan maklumat baru. Gagne (1985) pula menerangkan terdapat tiga peringkat pemprosesan maklumat, iaitu daftar deria (sensory register) dalam ingatan aktif (working memory, WM), ingatan jangka pendek (short-term memory, STM) dan ingatan jangka panjang (long-term memory, LTM). Maklumat baru yang dipelajari akan didaftarkan dalam WM dan jika diperlukan buat sementara waktu, ia akan disimpan dalam STM. Selepas digunakan beberapa kali, maklumat ini menjadi kekal dan disimpan dalam LTM untuk tempoh masa yang lama. Apabila maklumat ini perlu diingat kembali, ia akan diaktifkan semula dan dibawa ke WM untuk digunakan. Menurut Gagne, maklumat dalam minda sentiasa diproses dan diadaptasikan apabila maklumat baru diterima dan proses ini dinamakan proses pembelajaran. Ausubel (1978) menyokong teori pembelajaran ini melalui kajiannya yang mendapati bahawa jika pembelajaran itu memberi kesan kepada pelajar, maka ia akan lebih mudah dipelajari, diingat dan dihubungkaitkan dengan skema sedia ada, serta lebih kekal dalam ingatan. Bidang kajian ini dinamakan Sains Kognitif. Menurut Gagne, maklumat dalam minda sentiasa diproses dan diadaptasikan apabila maklumat baru diterima dan proses ini dinamakan

APLIKASI KONSTRUKTIVISME

Konstruktivisme (Driver & Bell, 1986; Driver, 1995; von Glaserfeld, 1995; Gergen, 1995; Appleton, 1997) menyatakan bahawa pelajar membina ilmu pengetahuan dan memberi makna kepada pengetahuan tersebut berdasarkan pengalaman sendiri melalui proses aktif yang berlaku dalam otak. Oleh itu, pengetahuan seseorang tentang sesuatu perkara bergantung pada persepsi, kepercayaan dan pengalamannya tentang perkara tersebut. Ahli konstruktivis percaya pengetahuan tidak boleh dipindahkan daripada guru kepada pelajar secara tabula rasa, tetapi pelajar perlu membina pengetahuannya sendiri melalui pemahaman yang diperoleh daripada proses pembelajaran yang dialaminya. Dengan itu, pemahaman dan makna ilmu pengetahuan bergantung pada cara ia dibentuk dalam minda pelajar.

No comments:

Post a Comment